Presiden Myanmar, U Thein Sein memulakan lawatan ke Brussels bermula 5 Mac lalu, dan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Kesatuan Eropah (EU), termasuk Presiden Majlis Eropah, Herman van Rompuy dan Presiden Suruhanjaya EU, Jose Manuel Barroso.
Dalam pertemuan tersebut, EU didesak membatalkan sekatan ekonomi terhadap Myanmar secepat mungkin. Myanmar pula digesa meningkatkan pembaharuan dalam bidang politik, sosial dan ekonomi.
Presiden Majlis Eropah, Herman van Rompuy menghargai usaha U Thein Sein memimpin rakyat Myanmar beralih ke demokrasi secara damai. Menurutnya, EU dan masyarakat antarabangsa mempunyai harapan tinggi terhadap pembaharuan dan pembangunan Myanmar.
"Kami sudah membincangkan kaedah EU menghulurkan bantuan kepada Myanmar dalam menghadapi cabaran. EU berharap meningkatkan kerjasama dengan kerajaan negara itu dalam tiga aspek, iaitu meningkatkan demokrasi dan hak asasi manusia, mendorong pembangunan ekonomi Myanmar dan meningkatkan hubungan dalam pelbagai bidang."
Dalam pertemuan tersebut, U Thein Sein memaklumkan pelbagai pembaharuan yang sedang dijalankan di Myanmar dan menyatakan akan terus mendorong proses demokrasi serta memperkukuh perdamaian kebangsaan.
U Thein Sein turut mendesak EU membatalkan sekatan terhadap Myanmar secepat mungkin, memandangkan Myanmar salah sebuah negara yang paling miskin di dunia.
"Saya juga menyeru EU memberi keutamaan semula kepada perdagangan Myanmar secepat mungkin supaya Myanmar dapat memasuki pasaran EU. Selain itu, saya menyeru EU membatalkan sekatan ekonomi secara menyeluruh. Saya yakin, lawatan saya kali ini pasti akan memperkukuh persahabatan dan kerjasama kedua-dua pihak."
Presiden Suruhanjaya EU, Jose Manuel Barroso berpendapat, Myanmar tetap menghadapi cabaran besar dalam pembaharuan. EU sanggup terus memberi perhatian terhadap proses demokrasi Myanmar dan situasi di kawasan Kachin.
"Walaupun Myanmar sedang mengalami perubahan besar, tetapi pembaharuan dan peralihan itu masih belum selesai. Myanmar masih menghadapi cabaran serius, misalnya memperbaik situasi kemanusiaan di Kachin dan Rakhine, menyelesaikan konflik, memelihara perdamaian dan melaksanakan pembaharuan demokratik serta membuat persiapan untuk pilihan raya tahun 2015. Kesemuanya ini tugas yang sukar dan penting. Kerajaan Myanmar telah menunjukkan keberaniannya untuk menghadapi cabaran."
EU telah menyediakan bantuan ekonomi sebanyak 200 juta Euro pada tahun 2012 hingga 2013. Barroso berjanji akan terus memberi sokongan ekonomi kepada Myanmar, dan akan membincangkan kemungkinan tentang menandatangani perjanjian pelaburan dua hala.