Cari:
Pasaran Minyak dan Gas Asli Myanmar Kian Terbuka kepada Pelabur Asing
2013-03-07 14:55:10 CRI Cetak

Sidang Kemuncak Industri Huluan Minyak dan Gas Asli Myanmar berakhir di Yangon semalam. Dalam persidangan tersebut, Myanmar mengumumkan bahawa negara itu akan membuka kira-kira 25 medan minyak dan gas asli luar pesisir pada April depan untuk menawarkan tender kepada pelabur antarabangsa. Selain itu, pegawai Kementerian Sumber Tenaga negara itu menyatakan bahawa kerajaan merancang untuk membuka lagi 18 medan di darat pada Januari tahun depan, serta meneroka 300 perigi minyak yang baharu. Ini jelas bahawa Myanmar telah mempertingkat pembukaan pasaran minyak dan gas asli kepada pasaran antarabangsa.

Sidang kemuncak yang berlangsung selama tiga hari ini telah menarik penyertaan lebih seratus buah syarikat dari Eropah, Amerika Utara dan Asia. Tender yang ditawarkan merangkumi aspek penerokaan, lojistik, pembinaan dan kewangan dalam industri minyak dan gas asli.

Pengurus Syarikat Minyak dan Gas Asli Myanmar (MOGE) memaklumkan, negara itu kaya dengan sumber minyak dan gas asli, dan ini banyak menarik minat pelabur antarabangsa. Menteri Sumber Tenaga Myanmar, U Than Htay menyatakan bahawa kementeriannya akan mengambil tindakan yang perlu untuk memastikan bidaan dijalankan dengan telus dan adil. Pegawai kementerian itu pula menjelaskan, pembukaan pasaran minyak dan gas asli bukan hanya untuk memenuhi permintaan pembangunan negara Myanmar, bahkan mengurangkan tekanan akibat sekatan yang diambil negara luar terhadap Myanmar. Kini, syarikat The Total Corporate dan Petronas Malaysia telah pun mengambil bahagian dalam penerokaan medan minyak dan gas asli luar pesisir Myanmar.

Simpanan minyak dan gas asli di Myanmar masing-masing berjumlah 3.2 bilion tong dan 2.54 trilion meter padu. Sehingga kini, kebanyakan sumber itu belum diteroka. Oleh itu, kerajaan Myanmar giat mendorong diplomasi sumber tenaga dengan negara luar.

Pada masa dahulu, kebanyakan syarikat peneroka di Myanmar berasal dari China, India dan negara-negara Asia yang lain. Kini, beberapa negara anggota ASEAN seperti Thailand, Malaysia, Singapura dan Vietnam telah memasuki pasaran minyak dan gas asli Myanmar.

Setelah Presiden U Thein Sein mula memerintah, kerajaan negara itu terus mempercepat pembukaan pasaran minyak dan gas asli kepada pelabur asing. Banyak syarikat gergasi seperti Shell dan Chevron telah menunjukkan minat untuk terlibat dalam penerokaan industri minyak dan gas asli di Myanmar. Menurut penganalisis, ini akan membawa perubahan yang amat besar kepada Myanmar. Walau bagaimanapun, persekitaran pelaburan di negara itu masih kurang menyakinkan, masyarakatnya kurang tenteram, dan sekatan ekonomi dunia Barat terhadap Myanmar masih belum dibatalkan semuanya. Semua ini akan membawa unsur yang tidak menentu kepada pembangunan pasaran sumber tenaga Myanmar.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China