Setelah kebuntuan konflik dipecahkan, kerajaan Malaysia telah menghantar sejumlah besar pasukan keselamatan ke Lahad Datu dan melancarkan serangan udara dan darat yang hebat terhadap tentera Sulu bermula 5 Mac lalu. Pada 7 Mac lalu, Sultan Sulu, Jamalul Kiram III mengumumkan gencatan senjata sepihaknya, di samping ingin mendapat respons positif daripada pihak Malaysia. Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa pihaknya tidak akan menghentikan serangan melainkan tentera Sulu itu meletakkan senjata dan menyerah diri tanpa syarat.
Jamalul Kiram III mengumumkan gencatan senjata dimulakan pada pukul 12.30 petang 7 Mac, melalui jurucakapnya dalam sidang akhbar di Manila. Jurucakap itu berkata bahawa Jamalul membuat keputusan itu sebagai respons terhadap kenyataan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon yang menyeru kedua-dua pihak yang berkonflik menghentikan tindakan kekerasan di Sabah. Keputusan itu untuk mengelakkan pengorbanan nyawa yang lebih teruk. Jurucakap itu juga menggesa kerajaan Malaysia membuat keputusan yang serupa.
Walau bagaimanapun, Najib menyatakan bahawa Malaysia tidak akan menghentikan serangan terhadap kumpulan pengganas itu. Beliau juga berjanji kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan akan sedaya upaya menjamin keselamatan dan kedaulatan negara daripada diceroboh oleh mana-mana pihak.
Menurut laporan media Malaysia, sejumlah besar pasukan keselamatan telah dikerahkan ke Lahad Datu sejak pertempuran tercetus antara pengganas Sulu dengan polis tempatan minggu lalu. Pihak tentera menghantar jet pejuang F-18 dan Skyhawk untuk memperhebat serangan terhadap tentera Sulu.
Menurut berita terkini akhbar Sinchew, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan bahawa jumlah pengganas Sulu yang terbunuh dalam Op Daulat sehingga kini ialah seramai 52 orang, antaranya 31 ditembak mati dalam serangan pada Khamis lalu.
Ketua Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Abdul Gani Patail memberitahu media pada 6 Mac lalu bahawa sekiranya Jamalul Kiram III dikenalpasti terlibat dalam pencerobohan tentera Sulu ke Sabah, maka Jabatan Peguam Negara akan mengemukakan permohonan supaya Jamalul Kiram III diekstradisi ke Malaysia. Kini pihaknya telah pun mengkaji prosedurnya.








