Cari:
Makna Sebenar AYG
2013-08-21 12:38:59 CRI Cetak

Atlet remaja Malaysia memafami kebudayaan China.

Sukan Belia Asia (AYG) Ke-2 yang diadakan di Nanjing, China sekarang merupakan temasya sukan yang cukup penting bagi atlet remaja dari pelbagai negara Asia.

Kontinjen Malaysia yang menyertai AYG kali ini tidak besar, tapi pencapaiannya cukup cemerlang. Setakat hari ini, mereka berjaya memenangi satu pingat emas, dua pingat perak dan dua pingat gangsa. Ini meletakkan kontinjen Malaysia di tempat kedua dalam semua negara ASEAN. Menurut Ketua Kontinjen Malaysia, Marina Chin, ini hasil tumpuan Malaysia terhadap sukan belia dalam pendidikan.

"Keadaan sukan belia di Malaysia boleh dikatakan pada tahap yang baik di peringkat Asia dan dunia. Ini kerana kami mempunyai ramai atlet remaja yang boleh bersaing di peringkat dunia. Contohnya dalam Wushu, kami ada juara dunia. Dalam sukan skuasy, pemain remaja Malaysia sudah capai satu tahap yang boleh dibanggakan kerana telah menang dalam Kejohanan Terbuka Britain dan sebagainya. Dan dalam badminton pun, Malaysia mempunyai pemain remaja yang tinggi kedudukannya di dunia. Dalam acara junam, memang Malaysia hanya dikalahkan oleh China sahaja."

Wartawan CRI dengan Puan Marina China

Marina Chin memaklumkan, jurulatih-jurulatih dari China dan beberapa negara yang lain telah membantu meningkatkan taraf sukan di Malaysia. Dengan sistem dan teori latihan yang dibawa oleh jurulatih-jurulatih tersebut ke Malaysia, taraf sukan di negara itu ditingkatkan beransur-ansur, bahkan taraf jurulatih tempatan pula semakin meningkat. Beliau yakin, tidak lama lagi, jurulatih Malaysia juga mampu melatih atlet peringkat dunia.

Bagaimanapun, Marina Chin juga yakin bahawa pada asasnya, yang boleh mendorong perkembangan sukan remaja di Malaysia bukanlah tahap latihan, sebaliknya pendidikan sukan. Menurut beliau, kerajaan Malaysia amat mementingkan pendidikan sukan, ini merupakan bahagian penting dalam pendidikan sekolah di Malaysia.

"Di Malaysia, sukan memang menerima banyak perhatian dari pihak kerajaan, sehinggakan di Kementerian Pelajaran terdapat satu dasar, iaitu setiap pelajar di sekolah, tak kira sekolah rendah atau sekolah menengah, mesti mengikuti latihan khas dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dan untuk membolehkan pelajar-pelajar bersukan pada tahap yang agak tinggi tanpa mengabaikan pelajaran mereka, Malaysia sekarang sudah mempunyai empat buah sekolah sukan peringkat negara. Di sekolah sukan ini, kurikulum agak fleksibel, tetapi mutu pelajaran masih terjamin."

Marina Chin berkata, bagi remaja, bersukan bermakna berusaha, berkembang dan membesar bersama-sama. Beliau merasa gembira mendapat peluang untuk membawa kontinjen Malaysia ke Nanjing. Ini kerana meskipun temasya sukan ini hanya batu loncatan yang kecil dalam kerjaya atlet-atlet remaja pada masa depan, namun dapat bertanding di luar negara, berkomunikasi dengan remaja dari pelbagai negara dan memahami kebudayaan yang berbeza merupakan pengalaman yang paling penting dalam proses tumbesaran mereka.

"Atlet yang melibatkan diri dalam AYG ini dapat melihat sepintas lalu tentang negara lain, bukan saja satu atau dua negara, tetapi banyak negara di Asia. Kalau mereka belajar di Malaysia, mungkin boleh tengok gambar dan sebagainya. Tapi di sini mereka dapat melihat dengan mata sendiri, memahami sendiri dan mungkin mendapat maklumat tambahan dari orang yang tertentu tentang dunia kita ini."

Lihat juga
berita lain
v Perkhidmatan Sukan Belia Asia Amat Baik 2013-08-18 15:07:26
v Sukan Belia Asia Dirasmikan di Nanjing 2013-08-17 15:19:20
v Sukan Belia Asia Bakal Diadakan di Nanjing 2013-08-16 16:13:47
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China