Cari:
Negara ASEAN Pentingkan Promosi Budaya di China
2013-08-22 14:15:37 CRI Cetak

"Malam Kemboja" anjuran bersama Pusat China-ASEAN dan Kedutaan Besar Kemboja ke China diadakan di Beijing baru-baru ini bagi meningkatkan pertukaran budaya kedua-dua negara.

Pelajar-pelajar Kemboja yang belajar akrobatik di China membuat persembahan untuk menghibur para hadirin. Mereka mengikuti program pertukaran budaya selama dua tahun di Sekolah Kesenian Antarabangsa Beijing dengan tajaan Kementerian Kebudayaan China.

Dalam aktiviti tersebut, Duta Besar Kemboja, Khek Sysoda telah menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada China,

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Pusat China-ASEAN kerana menganjurkan aktiviti ini, dan Kementerian Kebudayaan China atas latihan selama dua tahun yang disediakan untuk kanak-kanak kami. Ini merupakan satu penghormatan yang tinggi bagi Kemboja. Kanak-kanak Kemboja bukan sahaja telah melatih akrobatik di China, bahkan telah belajar kebudayaan, kesenian, bahasa Mandarin dan Inggeris di sini. Ibu bapa mereka dan pegawai dari Kementerian Kebudayaan dan Kesenian Kemboja berasa amat bangga dan gembira atas prestasi dan kepulangan mereka ke tanah air."

Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin yang turut menghadiri "Malam Kemboja" ini juga menyatakan, Kedutaan Besar Malaysia merancang bekerjasama dengan Pusat China-ASEAN untuk menganjurkan "Malam Malaysia" pada tahun depan. Menurut beliau, pihaknya kerap kali menganjurkan aktiviti promosi budaya Malaysia di China. Yang mahu dipertunjukkan kepada rakyat China ialah keunikan masyarakat majmuk di negara itu.

"Kita mahu tunjukkan wujudnya masyarakat berbilang kaum di Malaysia dan pelbagai budaya dan agama. Yang kita mahu tunjukkan ialah keunikan masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam perpaduan di Malaysia."

Duta Besar Laos ke China, Somdy Bounkhoum juga menyatakan,

"Saya yakin akan terdapat semakin banyak negara menganjurkan aktiviti seumpama ini pada masa depan. Pusat China-ASEAN merupakan pusat kerjasama dan pertukaran antara China dengan negara ASEAN, dan telah menyediakan platform bagi kami untuk mempromosi pelancongan, pelaburan dan lain-lain. Kedutaan Besar Laos juga berminat untuk menganjurkan 'Malam Laos' untuk mempertunjukkan kebudayaan dan adat resam kami. Menyertai aktiviti malam ini juga memberi peluang bagi saya untuk menimba pengalaman."

Setakat ini, Pusat China-ASEAN telah bekerjasama dengan Kedutaan Besar Thailand, Indonesia dan Kemboja untuk mengadakan aktiviti pertukaran seumpama itu.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China