China telah menjadi rakan dagang terbesar ASEAN selama empat tahun berturut-turut, manakala ASEAN pula merupakan rakan dagang ketiga terbesar, pasaran eskport keempat terbesar dan sumber import kedua terbesar bagi China. Menurut statistik, jumlah perdagangan luar China telah meningkat 8.6% pada separuh pertama tahun ini. Sementara itu, jumlah perdagangan antara China dengan ASEAN mencatat USD 210.56 bilion, meningkat 12.2% berbanding masa yang sama tahun lalu.
Ketua Pengarah Pusat Penyelidikan China-ASEAN dari Institut Pengurusan Chia Tai Thailand, Tang Zhimin menyatakan bahawa terdapat empat faktor utama yang merangsang pertumbuhan perdagangan China-ASEAN yang pesat. Pertama, halangan perdagangan semakin berkurang antara kedua-dua pihak sejak penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) pada 2010. Kedua, ekonomi China sedang berada dalam fasa transformasi, sebahagian besar barangan dikeluarkan di ASEAN, kemudian diproses di China, lalu dieksport ke pasaran luar negara. Model ini banyak meningkatkan jumlah perdagangan China-ASEAN. Ketiga, permintaan China terhadap sumber asli dari ASEAN turut meningkat. Dan akhir sekali, permintaan terhadap produk akhir semakin meningkat.
China dan ASEAN mempunyai kelebihan masing-masing dalam bidang ekonomi dan perdagangan. Pada masa yang sama, terdapat perbezaan antara kedua-dua pihak dari segi sumber semula jadi, produktiviti dan struktur industri. Oleh itu, kedua-dua pihak dapat saling melengkapi. Misalnya, Singapura dan Thailand memerlukan pasaran China; Malaysia dan Indonesia pula memerlukan pelaburan dari China; manakala Kemboja dan Laos pula memerlukan modal dan teknologi China.
Ahli penyelidik dari Institut Penyelidikan Asia Timur Universiti Nasional Singapura (NUS), Chen Gang menyatakan bahawa Asia perlu memantapkan pasaran sendiri. ASEAN dan China bukan sahaja merupakan pasaran yang penting antara satu sama lain, malah juga pasaran pengguna yang berpotensi besar.
Chen Gang turut mengingatkan bahawa perkembangan perdagangan dan ekonomi China-ASEAN masih menghadapi cabaran. Oleh itu, kedua-dua pihak perlu terus meningkatkan interaksi dan perkongsian maklumat. Selain itu, ASEAN dan China perlu terus menurunkan tarif dan melaksanakan rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas dengan secepat mungkin.