Kerjasama ASEAN-China mencapai kemajuan besar pada beberapa tahun kebelakangan ini, dan berpotensi terus ditingkatkan pada masa depan.
Demikian dinyatakan oleh Perdana Menteri Laos, Thongsing Thammavong dalam majlis perasmian Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) dan Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) ke-10 di Nanning, Guangxi semalam.
Beliau mencadangkan agar tiga aspek diberikan keutamaan dalam usaha memperkasakan kerjasama tersebut, iaitu mengukuhkan kerjasama perdagangan; meningkatkan kerjasama kesalinghubungan terutamanya dalam bidang pembinaan infrastruktur; dan menyediakan bantuan pembangunan modal insan kepada negara yang baru menganggotai Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN, bagi menjamin penubuhan Komuniti ASEAN menjelang tahun 2015 berjalan lancar.