Cari:
"Dekad Intan" Impian Bersama China-ASEAN
2013-09-04 15:57:23 CRI Cetak

Ucaptama yang disampaikan oleh Perdana Menteri China, Li Keqiang dalam majlis perasmian Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) dan Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan (CABIS) ke-10 semalam, menjadi perhatian masyarakat di luar negara. Tokoh-tokoh berkenaan menyatakan bahawa kerjasama antara China dengan ASEAN demi pembangunan bersama pasti dapat melonjakkan hubungan kedua-dua pihak ke satu tahap yang lebih tinggi, sekali gus menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

Sehubungan dengan lima inisiatif yang dikemukakan oleh Li bagi mengukuhkan kerjasama China-ASEAN, penganalisis politik Malaysia yang juga mantan setiausaha politik Perdana Menteri Malaysia, Dr. Ei Sun Ho menyatakan bahawa China dan ASEAN telah mencapai kemajuan dalam penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) dan pembangunan kesalinghubungan. Kedua-dua pihak perlu terus berusaha untuk memperkasakan kerjasama kewangan dan maritim serta pertukaran sosiobudaya.

Pengerusi Majlis Hal-Ehwal Dunia Indonesia, Ibrahim Yusuf menyatakan bahawa lima inisiatif tersebut merupakan saranan yang agak penting. Kini, nilai mata wang di banyak negara ASEAN sedang susut. Sokongan China amat diperlukan, dan kaedah China mengekalkan nilai mata wang Renminbi ketika krisis kewangan melanda Asia pada tahun 1997 patut dijadikan teladan.

Pada pendapat wartawan veteran akhbar The Brunei Times, antara lima inisiatif anjuran Li itu, inisiatif menggerakkan kerjasama maritim merupakan perkara yang paling menarik perhatian. Kerjasama tersebut berpotensi menjadi tumpuan kerjasama China-ASEAN berikutan termeterainya Perjanjian Perdagangan Perkhidmatan oleh kedua-dua pihak pada tahun 2007.

Ketua Bahagian Berita Ekonomi, Agensi Berita Vietnam menyatakan bahawa "Dekad Intan" antara China dengan ASEAN bukan sahaja dinanti-nantikan oleh China, malah menjadi impian semua negara ASEAN. Matlamat ini patut diwujudkan melalui usaha sinergi semua pihak.

Profesor dari Institut Sains Politik, Universiti Kasetsart Thailand pula berkata, ucaptama PM Li itu memberikan isyarat bahawa kerjasama China-ASEAN akan diteruskan pada sepuluh tahun akan datang. Beliau yakin melalui usaha bersama semua pihak, kerjasama China-ASEAN dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan akan semakin meluas selepas integrasi ekonomi ASEAN diwujudkan pada tahun 2015.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China