Kapal hospital tentera laut China "Bahtera Damai" tiba di Indonesia pagi semalam untuk menyertai aktiviti rawatan bersama yang dianjurkan oleh angkatan tentera laut Indonesia, China dan Singapura. Sehari sebelum ini, China menghantar pasukan yang terdiri daripada 18 anggota untuk menyertai latihan anti keganasan di bawah Mekanisme Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM 10+8) yang diadakan buat kali pertama di negara itu.
Naib Ketua Jabatan Asia Selatan dan Asia Tenggara Institut Pengajian Hubungan Antarabangsa Kontemporari China, Zhang Xuegang menyatakan, kerjasama keselamatan amat penting dalam hubungan China-ASEAN. Kini, keselamatan bukan tradisional yang semakin menarik tumpuan pelbagai negara Asia-Pasifik merupakan bidang terutama dalam usaha peningkatan kerjasama China-ASEAN memandangkan dapat meningkatkan rasa saling mempercayai kedua-dua pihak. Zhang mencadangkan China dan ASEAN mengekalkan perbincangan dan komunikasi yang mendalam mengenai keselamatan dan pertahanan dalam rangka kerjasama yang sedia ada, termasuk siri Sidang Kemuncak ASEAN, ADMM 10+8 dan Forum Rantau ASEAN. Menurut beliau,
"Penganjuran program latihan bersama amat diperlukan untuk mengeratkan kerjasama keselamatan dan pertahanan pelbagai pihak yang terlibat kerana akan membantu meningkatkan tahap ketelusan dan rasa saling mempercayai. Yang patut ditegaskan ialah, kapal hospital tentera laut China 'Bahtera Damai' buat kali pertama menyertai latihan bersama penyelamatan kemanusiaan dan rawatan ketenteraan ASEAN di Brunei pada bulan Jun lalu. Hal ini merupakan permulaan yang baik bagi pelbagai pihak berkenaan meningkatkan rasa saling mempercayai dan menghilangkan syak wasangka antara satu sama lain. China sepatutnya lebih aktif menyertai latihan multilateral dengan pelbagai negara ASEAN pada masa depan."
Zhang Xuegang berpendapat, walaupun pertelingkahan wilayah masih wujud antara China dengan beberapa negara ASEAN, namun pertikaian kedaulatan ini bukan perkara keseluruhan dalam hubungan kedua-dua pihak. China-ASEAN perlu mengawal isu tuntutan bertindih dengan berkesan agar tidak menjejaskan kerjasama dua hala secara keseluruhan.