Cari:
Lawatan Xi Jinping ke Asia Tenggara Akan Intensifkan Hubungan Persahabatan dengan Negara Jiran
2013-10-01 13:18:33 CRI Cetak

Presiden China, Xi Jinping akan mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia dan Malaysia tidak lama lagi. China berjiran baik dengan kedua-dua negara tersebut dengan menyeberangi laut. Memandangkan situasi antarabangsa mengalami perubahan yang besar dan ekonomi dunia telah pun memasuki tempoh penyusunan semula, lawatan kali pertama bagi Xi ke Asia Tenggara sejak beliau menyandang jawatan sebagai Presiden China menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa. Dalam tempoh lawatannya, Presiden Xi dan pemimpin kedua-dua negara akan berbincang tentang kaedah kerjasama dan pembangunan bersama, di samping berkomunikasi dengan tokoh-tokoh pelbagai lapisan masyarakat. Ini membawa makna penting bagi mendorong pertukaran dan kerjasama antara China dengan Indonesia dan Malaysia.

Pertukaran lawatan yang bersahabat antara China dengan Indonesia dan Malaysia bermula pada lebih 2,000 tahun yang lalu. Aktiviti perdagangan antara China dengan kedua-dua negara itu bahkan pernah dicatatkan secara rasmi dalam buku sejarah Dinasti Han(tahun 206 Sebelum Masihi--220 Masihi) China.

Selepas hubungan diplomatik dijalinkan antara China dengan Indonesia dan Malaysia, kerjasama dan persahabatan sentiasa merupakan arus utama dalam hubungan bilateral. China menjalinkan hubungan rakan strategik dengan Indonesia pada tahun 2005 dan menjalinkan hubungan kerjasama strategik dengan Malaysia pada tahun 2004. Ini menyebabkan hubungan bilateral mencapai tahap yang baharu. Kepercayaan politik antara China dengan kedua-dua negara itu terus meningkat dan pertukaran lawatan peringkat tinggi semakin erat di samping mekanisme kerjasama semakin sempurna.

Kerjasama pragmatik dalam pelbagai bidang antara China dengan Indonesia dan Malaysia mendahului negara ASEAN lain. China adalah rakan dagangan kedua terbesar bagi Indonesia, manakala Indonesia merupakan pasaran projek berkontrak yang terbesar bagi China di Asia Tenggara pada tiga tahun berturut-turut, bahkan merupakan destinasi sumber tenaga yang penting bagi China.

Begitu juga, China merupakan rakan dagang terbesar bagi Malaysia dalam tempoh empat tahun berturut-turut, manakala Malaysia menjadi rakan dagang terbesar bagi China antara negara anggota ASEAN dalam tempoh lima tahun berturut-turut. Taman Perindustrian Qinzhou dan Taman Perindustrian Kuantan yang dibina dengan kerjasama kedua-dua negara itu menjadi contoh kerjasama pelaburan di rantau ini.

Indonesia dan Malaysia adalah negara pengasas ASEAN dan juga anggota ASEAN yang penting. Kedua-dua negara itu telah memainkan peranan yang tidak boleh digantikan dalam mendorong perkembangan hubungan antara China dengan ASEAN. China dan kedua-dua negara itu sama-sama merupakan negara membangun dan entiti ekonomi baru muncul, dan mempunyai kepentingan bersama yang luas dalam urusan antarabangsa dan serantau. Hubungan kerjasama dan persahabatan antara China dengan kedua-dua negara yang tidak menghiraukan ras dan perbezaan agama itu menjadi contoh yang baik bagi pelbagai tamadun hidup bersama secara harmoni.

Kerajaan China, Indonesia dan Malaysia sepakat menyasarkan pembinaan hubungan kerjasama dan persahabatan yang lebih erat, mewujudkan saling menghormati dan pembangunan bersama dalam situasi menang-menang.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China