Presiden China, Xi Jinping telah menyampaikan ucapan tentang gagasan menggalakkan hubungan China dengan Indonesia dan ASEAN di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia pagi semalam. Naib Presiden Institut Pengajian Antarabangsa China (CIIS), Ruan Zongze menyatakan bahawa Komuniti Berkongsi Nasib China-ASEAN yang mengutamakan kedamaian dan pembangunan, akan membawa makna yang penting kepada rantau ini.
Indonesia merupakan destinasi pertama dalam rangka lawatan Presiden Xi ke Asia Tenggara kali ini. Menurut Ruan Zongze, Indonesia merupakan salah sebuah negara yang terpenting di Asia Tenggara, dan pengaruhnya di arena antarabangsa semakin jelas, misalnya dalam Kumpulan 20 (G20). Peningkatan hubungan China-Indonesia akan mempererat hubungan China-ASEAN dan membawa pengaruh besar kepada rantau ini bahkan dunia.
Dalam ucapannya yang bertajuk "Bekerjasama untuk Membina Komuniti Berkongsi Nasib China-ASEAN", Presiden Xi menyatakan bahawa hubungan China-ASEAN berada pada titik permulaan yang baharu. China bersedia bekerjasama dengan ASEAN untuk membina komuniti yang berkongsi nasib bagi membawa lebih banyak faedah kepada rakyat kedua-dua pihak. Ruan Zongze menyatakan,
"Pada pandangan saya, sasaran muktamad Komuniti Berkongsi Nasib ini adalah untuk menjamin kedamaian dan pembangunan. Kini, tugas memelihara kedamaian dan kestabilan baik dalam aspek dua hala mahupun serantau di Asia Tenggara masih menghadapi cabaran besar. Perkembangan hubungan China-ASEAN pada beberapa tahun kebelakangan ini hasil usaha mengatasi unsur ketidakstabilan dan ketidakpastian tersebut. Kedamaian telah menyediakan suasana yang baik bagi perkembangan hubungan bilateral. Hubungan China-ASEAN telah banyak ditingkatkan ketika kedua-dua pihak bersama-sama menghadapi krisis dan cabaran. Misalnya, dalam krisis kewangan Asia Timur pada tahun 1990-an, kedua-dua pihak bekerjasama dan saling membantu, sehingga akhirnya berjaya mengatasi krisis tersebut, dan menyebabkan hubungan dua hala mencapai perkembangan besar. Selepas itu, mekanisme kerjasama seperti ASEAN+1 dan ASEAN+3 turut muncul. Selain kedamaian itu, unsur pembanguan juga amat diperlukan bagi terus memantapkan hubungan tersebut."