China dan Malaysia bersetuju meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik komprehensif.
Persepakatan itu dicapai dalam rundingan antara Presiden China, Xi Jinping dengan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Dalam rundingan itu, Xi berkata bahawa China amat mementingkan hubungan dengan Malaysia. Kedua-dua negara perlu terus meningkatkan tahap kerjasama strategik dan mengekalkan hubungan kedua-dua negara sebagai teladan baik kepada hubungan dua hala di rantau ini.
Presiden Xi turut mengemukakan cadangan dalam lima perkara untuk meningkatkan kerjasama dua hala, iaitu pertama, mengekalkan tradisi pertukaran lawatan antara pemimpin kedua-dua negara di samping mempergiat komunikasi strategik dalam isu-isu yang penting; kedua, memperhebat kerjasama ekonomi dan perdagangan bagi mencapai sasaran jumlah perdagangan dua hala sebanyak USD 160 bilion menjelang tahun 2017; ketiga, memperkasakan kerjasama dalam bidang maklumat dan komunikasi, satelit penderiaan jauh dan bioteknologi; keempat, memanfaatkan mekanisme rundingan keselamatan pertahanan serta merancakkan interaksi dan kerjasama antara tentera kedua-dua negara; kelima, memperluas kerjasama dan pertukaran lawatan di peringkat tempatan dan kalangan rakyat.
Dato' Seri Najib pula menyatakan kesediaan untuk merancakkan lagi kerjasama dengan China dalam bidang pelaburan, ketenteraan, teknologi, pendidikan, pelancongan dan sosiobudaya.
Selepas pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin ini bersama-sama menyaksikan penandatanganan beberapa dokumen kerjasama dua hala.