Ucapan Presiden Xi Jinping di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia semalam berkaitan dasar kejiranan China terhadap Indonesia dan ASEAN serta lawatannya ke Indonesia, mendapat pujian tokoh politik, sarjana dan media antarabangsa. Mereka menganggap usaha mempertingkatkan kerjasama China dengan Indonesia dan ASEAN amat bererti, manakala dasar luar China yang berorientasikan keamanan dan strategi pintu terbuka yang menang-menang bermanfaat bagi memelihara kedamaian dan kestabilan rantau Asia serta menggalakkan pembangunan bersama negara-negara di rantau ini.
Xi dalam ucapannya berikrar untuk mengintensifkan perkongsian strategik yang menyeluruh antara China dengan Indonesia serta membina komuniti berkongsi nasib China-ASEAN yang lebih rapat. Speaker DPR Indonesia, Marzuki Alie menyatakan bahawa ucapan Presiden Xi itu amat memberangsangkan dan beliau yakin perkembangan hubungan Indonesia-China pada masa depan pasti akan membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
Ketua pengedit akhbar harian Myanmar, U Win Tin menyatakan bahawa China sebagai negara besar yang berkembang pesat komited untuk memajukan hubungan dengan ASEAN. Hal ini amat bermakna bagi pembangunan China, negara ASEAN dan juga rantau ini.
Akhbar The Asahi Shimbun dalam laporannya pula menyatakan bahawa lawatan Presiden Xi kali ini akan memperkukuh kerjasama China dengan negara Asia Tenggara dalam bidang ekonomi selain meningkatkan pengaruh China di pentas antarabangsa.