Cari:
Malaysia Penuh Keyakinan terhadap Hubungan dengan China
2013-10-04 14:45:41 CRI Cetak
Presiden China, Xi Jinping dijadualkan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 3 hingga 5 Oktober ini. Ketua Setiausaha Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPCM), Tan Khai Hee menyatakan bahawa pelbagai lapisan masyarakat Malaysia menaruh harapan yang tinggi terhadap lawatan Presiden Xi ini. Beliau menganggap bahawa melalui lawatan ini, hubungan kedua-dua negara pasti akan mencapai perkembangan yang lebih besar pada masa depan.

Sebagai pertubuhan bukan kerajaan paling utama yang berperanan untuk menggalakkan hubungan persahabatan Malaysia-China, PPMC telah giat membuat persiapan bagi aktiviti-aktiviti yang melibatkan lawatan Presiden Xi. Ketua Setiausaha pertubuhan itu, Tan Khai Hee yang berusia 77 tahun menyatakan bahawa beliau telah menyaksikan perkembangan hubungan Malaysia-China yang bermula dengan penjalinan hubungan diplomatik hinggalah pewujudan perkongsian kerjasama strategik sekarang. Dalam tempoh itu, syarikat yang beliau miliki pun memperoleh peluang yang besar berikutan perkembangan pesat perdagangan kedua-dua negara. Namun, beliau menganggap bahawa hubungan Malaysia-China dapat terus berkembang berkat kesalingpercayaan politik antara kedua-dua pihak, selain hubungan ekonomi dan perdagangan yang erat. Kata beliau,

"China mengekalkan hubungan mesra dengan Malaysia bukan hanya disebabkan isu ekonomi. China tidak pernah bercampur tangan dalam urusan domestik Malaysia. Maka, kerajaan Malaysia melihat China sebagai kawan yang boleh dipercayai. Jadi boleh dibayangkanlah betapa gembiranya warga Malaysia menerima lawatan Presiden Xi selaku ketua negara."

PPMC yang ditubuhkan pada tahun 1992 komited kepada usaha meningkatkan persefahaman dan persahabatan antara rakyat Malaysia dan China. Atas tujuan ini, pertubuhan itu telah banyak menyumbang dalam usaha menggalakkan perdagangan kedua-dua negara serta pertukaran dalam bidang budaya, pendidikan dan sukan, yang telah mendapat pengiktirafan kerajaan dan rakyat kedua-dua negara. Tan Khai Hee menyatakan bahawa di Malaysia tidak kira orang Cina atau orang Melayu, semuanya berharap hubungan Malaysia-China dapat mengekalkan momentum perkembangan yang baik. Malaysia berkeyakinan penuh terhadap prospek hubungan tersebut. Kata beliau,

"Rasanya, rakyat Malaysia rata-rata mempunyai pandangan yang sama, yang berharap lebih ramai pemimpin China melawat ke Malaysia untuk mempertingkatkan hubungan bilateral. Lawatan yang kerap diadakan tentu akan memperdalam persefahaman dan rasa saling mempercayai antara satu sama lain."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China