Lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada 3 hingga 5 Oktober lalu, dianggap amat bermakna bagi meningkatkan hubungan kerjasama dan persahabatan antara China dengan Malaysia serta ASEAN.
Penganalisis politik Malaysia yang juga mantan Setiausaha Politik Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak, Dr. Oh Ei Sun berkata, hasil yang paling penting lawatan Presiden Xi kali ini adalah meningkatkan hubungan bilateral kepada perkongsian strategik komperhensif, yang bermakna kedua-dua pihak akan lebih banyak mengadakan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi, budaya, pendidikan dan lain-lain.
Ketua Setiausaha Persatuan Persahabatan Malaysia-China, Tan Khai Hee berkata, pelbagai perjanjian kerjasama yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak akan menggalakkan pembangunan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.
Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China, Datuk Bong Hon Liong menyatakan, peningkatan hubungan ekonomi Malaysia-China menyediakan peluang baik kepada ahli perniagaan Malaysia. Pelaburan yang semakin banyak dari China bakal turut memacu pembangunan ekonomi Malaysia.
Akhbar Yomiuri Simbun Jepun melaporkan, lawatan Presiden Xi ke Asia Tenggara kali ini serta lawatan Perdana Menteri China, Li Keqiang ke Brunei, Thailand dan Vietnam yang bakal diadakan membuktikan China sangat mementingkan hubungan dengan rantau ini.
Agensi Berita Vietnam pula melaporkan, lawatan Presiden Xi ke Malaysia meningkatkan hubungan bilateral ke tahap yang baharu. Lawatan ini membolehkan pemimpin kedua-dua negara melakar hala tuju hubungan China-Malaysia pada masa depan.