Cari:
Lawatan PM Li Untuk Lakar Kerjasama China-ASEAN
2013-10-08 14:44:16 CRI Cetak

Perdana Menteri China, Li Keqiang akan menghadiri persidangan pemimpin Asia Timur dan membuat lawatan rasmi ke Brunei Darussalam, Thailand dan Vietnam pada 9 hingga 15 Oktober nanti. Kementerian Luar China semalam memaklumkan bahawa Li bakal mengemukakan cadangan berkaitan kerangka kerjasama China-ASEAN pada masa depan.

Selepas berakhirnya lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Asia Tenggara, PM Li pula akan menjejakkan kaki ke tiga negara ASEAN. Dalam tempoh setengah bulan, dua pemimpin peringkat tinggi China melakukan lawatan intensif ke negara ASEAN. Hal ini jarang terdapat dalam aktiviti diplomatik China dengan negara jiran.

Menurut kementerian tersebut, tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 terjalinnya perkongsian strategik antara China-ASEAN. Dalam Sidang Kemuncak China-ASEAN, Li akan menyimpulkan pencapaian dan pengalaman dalam tempoh "dekad emas" lalu dan merangka pembangunan pada masa depan. Naib Menteri Luar China, Liu Zhenmin berkata,

"PM Li akan mnghuraikan dasar luar kerajaan penggal baharu yang memperhebat hubungan dengan ASEAN, mengemukakan pandangan dan cadangan berhubung kerangka kerjasama pada masa depan, dan menjelaskan gagasan untuk memperkasakan kerjasama dalam bidang keselamatan politik, ekonomi dan perdagangan, kesalinghubungan, serta kerjasama maritim dan sosiobudaya."

Dimaklumkan, usaha menandatangani Perjanjian Kerjasama dan Kejiranan Baik China-ASEAN, menaiktarafkan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA), menubuhkan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia dan meneroka bidang baharu kerjasama maritim merupakan fokus cadangan Li yang berkaitan.

Dalam pada itu, usaha menaiktarafkan CAFTA adalah tumpuan lawatan kali ini. China merupakan rakan dagang terbesar bagi ASEAN untuk empat tahun berturut-turut, manakala ASEAN rakan dagang ketiga terbesar bagi China. Kedua-dua pihak mengemukakan sasaran jumlah perdagangan sebanyak USD 1 trilion menjelang tahun 2020. Naib Menteri Perdagangan, Gao Yan berkata,

"Populasi China dan ASEAN mewakili hampir 30% daripada jumlah populasi dunia. Seiring dengan pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat, China dan ASEAN sedang berkembang menjadi pasaran gergasi yang tumbuh paling pesat di dunia. China dan ASEAN mempunyai sumber tenaga yang banyak, taraf pembangunan dan struktur perindustrian yang berlainan, maka dapat saling melengkapi dalam rantaian perindustrian. Kerjasama antara kedua-dua pihak amat berpotensi."

Selain Sidang Kemuncak China-ASEAN, Li juga dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, China, Jepun dan Republik Korea (ASEAN+3) dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

Selepas itu, Li akan melakukan lawatan rasmi ke Brunei, Thailand dan Vietnam, yang bakal menjadi lawatan pertama pemimpin kerajaan penggal baharu China ke ketiga-tiga negara tersebut. Liu Zhenming berkata,

"Dalam tempoh lawatan ini, PM Li akan mengadakan rundingan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, menyampaikan ucapan di Parlimen Thailand, dan menghadiri Pameran Kereta Api Laju di Bangkok. Selain itu, Li juga dijadualkan bertemu dengan pemimpin negara Vietnam untuk bertukar-tukar pendapat berhubung usaha mempererat persahabatan, memperkukuh kerjasama strategik dan menangani sebaiknya isu Laut China Selatan."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China