Perdana Menteri China, Li Keqiang telah menyampaikan ucapan ketika menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak China-ASEAN (10+1) ke-16 di Bandar Seri Begawan, Brunei petang kelmarin. Para pegawai kerajaan, ahli politik, sarjana dan wakil media dari negara-negara ASEAN menyatakan bahawa cadangan Li mengenai tindakan China untuk terus memantapkan kerjasama dengan ASEAN dalam tempoh 10 tahun akan datang pasti akan menggalakkan hubungan kerjasama dan jiran bersahabat antara kedua-dua pihak.
Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bertitah bahawa cadangan Li untuk menaiktaraf Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) akan terus meningkatkan hubungan ekonomi antara negara-negara serantau dengan China, serta membantu negara-negara berkenaan menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi global.
Setiausaha Agung ASEAN, Le Luong Minh mengatakan bahawa semua negara anggota ASEAN menyifatkan cadangan Li tersebut sebagai isyarat positif yang memperlihatkan komitmen China untuk terus merapatkan kerjasama dengan ASEAN pada jangka masa 10 tahun akan datang.
Penolong Ketua Editor akhbar Oriental Daily Malaysia, Eng King Sia menyatakan, cadangan PM Li tersebut menjadi tumpuan perhatian umum negara ASEAN. Pembangunan ekonomi negara ASEAN memerlukan sumbangan China. Sejak kumpulan pemimpin baharu kerajaan China dipilih, lawatan mereka ke negara ASEAN kerap kali diadakan. Ini memberikan isyarat yang positif dan menyediakan asas yang baik bagi mempererat hubungan China-ASEAN pada 10 tahun akan datang.
Selain itu, pensyarah dari Institut Pengajian Asia Pasifik, Universiti Leeds, Britain, Kim V. Narry memuji cadangan Li Keqiang untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama antara China dengan ASEAN dalam bidang keselamatan. Menurutnya, membina hubungan strategik yang saling mempercayai dan komuniti keselamatan yang berdasarkan kepentingan ekonomi dan rakyat sepatutnya menjadi arah aliran utama rantau ini. Memelihara keamanan dan kestabilan di kawasan Asia Timur amat penting kerana ia merupakan antara enjin utama bagi kemakmuran ekonomi global.
Ketua wartawan Voice of America (VOA) di Asia Tenggara, Steven Herman memetik ucapan Li bahawa pertikaian di Laut China Selatan sepatutnya diselesaikan oleh pihak-pihak terlibat melalui rundingan langsung secara damai. Masalah ini tidak akan menjejaskan, dan tidak sepatutnya menjejaskan kerjasama China dengan ASEAN.