Perdana Menteri China, Li Keqiang ketika berucap dalam Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-16 di Brunei telah membentangkan dasar China untuk mengembangkan hubungan dengan ASEAN dalam tempoh 10 tahun akan datang. Beliau mengusulkan "Rangka Kerjasama 2+7" yang mendapat tumpuan ramai. Antara kandungan usul itu termasuk dua persepakatan dan kerjasama dalam tujuh bidang.
Dua persepakatan tersebut melibatkan usaha memperdalam rasa saling mempercayai strategik dan mengembangkan hubungan jiran bersahabat yang merupakan asas bagi menggalakkan kerjasama. Persepakatan kedua adalah memberi tumpuan terhadap pembangunan ekonomi, memperluas usaha saling menguntungkan dan menang-menang yang merupakan kunci bagi merapatkan kerjasama China-ASEAN.
Ketua Pengarah Pusat Penyelidikan Isu Antarabangsa China, Qu Xing ketika diwawancara oleh wartawan CRI menyatakan bahawa cadangan PM Li itu memperincikan konsep "komuniti China-ASEAN yang berkongsi nasib bersama" yang dinyatakan oleh Presiden Xi semasa beliau melawat Asia Tenggara baru-baru ini. Cadangan itu juga merangka peta garisan bagi "dekad berlian" China-ASEAN pada 10 tahun akan datang.
Menurutnya, rangka kerjasama tersebut turut mengusulkan tujuh bidang yang melibatkan asas politik, ekonomi dan perdagangan, kemudahan infrastruktur, kerjasama kewangan, maritim, keselamatan dan pertukaran sosiobudaya, yang amat lengkap dan pragmatik. Di samping itu, "rangka kerjasama 2+7" juga merupakan reaksi terhadap keprihatinan negara-negara ASEAN, dan membantu untuk menghapuskan kebimbangan mereka dan mengukuhkan keyakinan untuk hidup secara damai dan bersahabat dengan China. Rangka ini menyediakan asas yang kukuh bagi mewujudkan "dekad berlian" China-ASEAN.