Cari:
Kerjasama China-Vietnam Capai Kemajuan Penting
2013-10-14 14:48:15 CRI Cetak

Perdana Menteri China, Li Keqiang yang dalam rangka lawatan ke Vietnam mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari negara itu, Nguyen Tan Dung di Hanoi semalam. Kedua-dua pihak bersetuju menubuhkan tiga kumpulan kerja termasuk kumpulan perunding pembangunan bersama marin bagi memperhebat kerjasama dalam bidang maritim, pesisir dan kewangan.

Nguyen Tan Dung mengadakan majlis sambutan yang meriah untuk PM Li petang semalam. Ini merupakan lawatan pertama pemimpin kerajaan penggal baharu China ke Vietnam. Sama ada hubungan kedua-dua negara dapat mengekalkan pembangunan yang sihat dan mantap menjadi tumpuan media.

Selepas rundingan berkenaan, Li berkata,

"Hasil terpenting rundingan kami adalah, kedua-dua pihak bersetuju secara rasminya menubuhkan kumpulan perunding pembangunan bersama marin, kumpulan kerjasama infrastruktur di pesisir dan kumpulan kewangan bagi mendorong kerjasama berkenaan."

China dan Vietnam sepakat untuk memperkasakan kesalingpercayaan politik, mengekalkan pertukaran lawatan peringkat tinggi, memaksimumkan kepentingan bersama, meminimumkan perselisihan pendapat, serta memelihara keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan. Kata Li,

"Kami akan berusaha memastikan usaha pembangunan bersama di perairan luar muara Teluk Beibu mencapai kemajuan yang ketara dalam tahun ini selain membincangkan usaha pembangunan bersama di kawasan perairan yang lebih luas. Ini akan menunjukkan kepada dunia bahawa China dan Vietnam mempunyai kemampuan dan kebijaksanaan untuk memeliharan keamanan di Laut China Selatan."

Menurut Li, China dan Vietnam juga bersetuju memulakan kerjasama pragmatik dalam bidang kesalinghubungan dan projek infrastruktur utama dalam tahun ini demi manfaat rakyat, di samping mewujudkan rangkaian keselamatan kewangan bagi mengelakkan risiko kewangan dan mengekalkan kestabilan ekonomi.

Nguyen Tan Dung mengalu-alukan cadangan Li yang berkenaan. Beliau berkata,

"Kedua-dua pihak bersetuju bersama-sama memelihara keamanan dan kestabilan di laut, mengendalikan perselisihan pendapat sewajarnya dan mencari penyelesaian bagi sebarang masalah menerusi rundingan. Berdasarkan prinsip tersebut, Vietnam dan China akan bekerjasama dalam isu berhubung persempadanan di luar muara Teluk Beibu dan pembangunan bersama yang berkaitan."

Selepas rundingan itu, PM kedua-dua negara ini telah menghadiri upacara penandatanganan dokumen kerjasama dalam bidang maritim, kewangan, ekonomi dan perdagangan serta infrastruktur.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China