Ketua Pengarah Institut Pengajian Antarabangsa China, Qu Xing berkata,
"Pada hakikatnya, peranan paling besar bagi program pertukaran dan kerjasama keselamatan adalah mengekalkan ketelusan dalam bidang keselamatan dan pertahanan. Jika cadangan China di atas tersebut dapat direalisasikan, kedua-dua pihak mempunyai saluran yang tepat untuk mengadakan komunikasi berhubung isu-isu berkenaan. Dengan ini, masalah-masalah yang menimbulkan kebimbangan juga dapat ditangani dengan berkesan. Inilah pentingnya mekanisme tersebut diwujudkan."
Naib Ketua Pengarah Institut Asia Selatan dan Asia Tenggara, Insitut Hubungan Antarabangsa Kontemporari China, Zhang Xuegang menganggap bahawa cadangan PM Li tersebut amat pragmatik. Kata beliau,
"Pada pendapat saya, cadangan PM Li mengenai kerjasama keselamatan menunjukkan China dan ASEAN perlu saling menghormati dan mengekalkan komunikasi; Kedua-dua pihak perlu merangka langkah-langkah yang praktikal terutamanya dalam bidang keselamatan bukan tradisional untuk mempertingkatkan kesalingpercayaan dan tahap kerjasama. PM Li turut menegaskan pentingnya mekanisme keselamatan. Justeru, kedua-dua pihak perlu berusaha membina wahana dan mekanisme yang berkesan bagi kerjasama keselamatan antara China dan ASEAN. Berdasarkan usaha tersebut, barulah kerjasama keselamatan antara kedua-dua pihak dapat lebih berhasil. Cadangan kerjasama yang dikemukakan oleh PM Li amat pragmatik termasuk menyempurnakan mekanisme Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan China-ASEAN, selain memperkasakan kerjasama dalam bidang keselamatan bukan tradisional yang melibatkan bantuan bencana, keselamatan siber serta pembanterasan jenayah rentas sempadan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan."
Presiden China, Xi Jinping ketika menyampaikan ucapan di Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia pada 3 Oktober yang lalu menegaskan bahawa "negara-negara di rantau ini patut mengetepikan pemikiran Perang Dingin, mempromosikan konsep keselamatan baharu yang tertumpu pada keselamatan komprehensif, bersama dan kerjasama, serta bersama-sama memelihara kedamaian dan kestabilan serantau". Konsep keselamatan baharu China ini ditegaskan sekali lagi oleh PM Li dalam sidang kemuncak Asia Timur.