
Dalam Forum Kerjasama Ekonomi China-Malaysia yang diadakan baru-baru ini, pihak-pihak terbabit telah menandatangani perjanjian yang menyokong pembinaan kampus Universiti Xiamen cawangan Malaysia. Kedua-dua pihak juga mengumumkan akan menubuhkan Institut Maritim China-ASEAN berasaskan Universiti Xiamen cawangan Malaysia. Ini merupakan cawangan pertama universiti China di luar negara.
Kerjasama tersebut dicadangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak dalam rangka lawatan ke Guangxi pada 1 April tahun lalu untuk merasmikan projek Taman Perindustrian Qianzhou China-Malaysia bersama-sama rakan sejawatnya dari China ketika itu, Wen Jiabao. Universiti Xiamen yang dibuka dengan sokongan perantau terkenal China di Malaysia, Tan Kah Kee pada tahun 1921, terkemuka di China terutamanya dalam bidang penyelidikan Asia Tenggara.
Dato' Seri Najib berharap pembukaan cawangan universiti tersebut di Malaysia dapat menarik kedatangan lebih banyak universiti China, sekali gus menjadikan Malaysia pusat pendidikan di rantau Asia Tenggara. Cadangan tersebut disokong oleh bekas Perdana Menteri Wen Jiabao, dan kedua-dua negara menandatangani memorandum persefahaman (MOU) mengenai kerjasama tersebut dalam rangka lawatan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC), Jia Qinlin ke Malaysia pada bulan Februari lalu. Ketika Presiden China, Xi Jinping melawat Malaysia pada awal bulan ini, Dato' Seri Najib pula menyifatkan kerjasama ini sebagai tanda bahawa hubungan bilateral kedua-dua negara ditingkatkan secara menyeluruh, dan bidang kerjasama terus diperluas.
Pembukaan Universiti Xiamen cawangan Malaysia juga disambut hangat oleh orang Cina di Malaysia. Dulu, mereka biasanya menghantar anak-anak ke universiti di negara Barat untuk melanjutkan pelajaran. Jikalau ada yang menghantar anak-anak ke universiti di China pula hanya untuk mempelajari bahasa Mandarin. Ini kerana kedua-dua negara belum saling mengiktiraf ijazah pada masa itu. Kini, kedua-dua negara mengiktiraf ijazah pendidikan tinggi antara satu sama lain, di samping universiti China pula membuka cawangan di Malaysia. Kampus tersebut dijangka akan menarik ramai pelajar Cina, bahkan kaum-kaum yang lain di negara itu.

Dalam majlis jamuan yang dihadiri oleh Presiden Xi Jinping di Kuala Lumpur pada awal bulan ini, Duta Khas Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Ong Ka Ting telah mengumumkan, Tan Sri Robert Kuok, orang terkaya di Malaysia yang juga "Raja Gula" di Asia akan menyumbang RM 100 juta bagi pembinaan perpustakaan kampus cawangan Universiti Xiamen di Malaysia.








