Cari:
Indonesia Larang Eksport Bijih Logam
2014-01-13 12:53:51 CRI Cetak

Larangan pengeksportan bijih logam mula dikuatkuasakan di Indonesia semalam. Kini semua bijih logam perlu diproseskan oleh syarikat Indonesia sebelum dieksport.

Indonesia merupakan pengeksport sumber bahan galian yang penting di dunia. Pengeksportan tembaga, nikel dan bauksit negara tersebut masing-masing menduduki 3%, 18% hingga 20%, dan 9% hingga 10% daripada jumlah di seluruh dunia. Namun, pada beberapa tahun kebelakangan ini, sumber bahan galian di Indonesia semakin berkurang, sebaliknya penggunaannya meningkat pesat. Untuk melindungi sumber semula jadi sambil meningkatkan nilai tambahan pengeksportan bahan galian, menggalakkan pembangunan industri pemprosesan bahan galian dan menyediakan lebih banyak peluang kerja, Indonesia meluluskan Undang-undang Galian dan Arang Batu pada tahun 2009 yang melarang pengeksportan bijih logam bermula 12 Januari tahun ini.

Bagaimanapun, dasar tersebut ditentang oleh beberapa syarikat perlombongan kerana ia menjejaskan keuntungan mereka. Pada masa yang sama, penguatkuasaan dasar ini juga akan mengakibatkan pendapatan kerajaan berkurang sebanyak USD 830 juta, ini akan memburukkan lagi keadaan defisit kewangan kerajaan Indonesia.

Menjelang tarikh terakhir penguatkuasaan larangan tersebut, kerajaan Indonesia telah bertolak ansur. Pihaknya mengumumkan pada malam 11 Januari bahawa 66 buah syarikat perlombongan diizinkan terus mengeksport bijih logam termasuk tembaga, mangan, plumbum, zink dan besi hingga tahun 2017. Bagaimanapun, pengeskportan bijih nikel dan bauksit tetap dilarang.

Dasar baharu ini juga memberi kesan kepada China yang mengimport sebanyak 70% bijih nikel dan lebih 50% bijih bauksit dari Indonesia. Larangan tersebut mengakibatkan terputusnya bekalan baharu bagi beberapa syarikat di China. Sebelum ini, syarikat-syarikat China mencuba mengangkut bijih mentah sebelum larangan tersebut berkuatkuasa, tetapi bahan tersebut gagal meninggalkan pelabuhan Indonesia disebabkan pihak Indonesia enggan memberi keizinan.

Untuk menghadapi larangan tersebut, syarikat-syarikat China pula memulakan pembinaan kawasan dan taman perindustrian di Indonesia untuk memproses bijih logam dengan sokongan dan galakan daripada kerajaan China dan Indonesia. Syarikat-syarikat China dalam kawasan perindustrian ini akan diberi keutamaan dalam bidang kutipan cukai, pembiayaan, dan kelulusan kastam. Pembinaan kawasan perindustrian juga akan menyediakan jaminan undang-undang yang lebih sempurna kepada syarikat-syarikat China yang melabur di Indonesia dan juga menyediakan lebih banyak peluang kerja dan menggalakkan pembangunan pengindustrian di negara itu.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China