--oleh Noriani Mohd. Idris
Sehingga kini, nasib 239 penumpang termasuk dua bayi dan 12 petugas dalam penerbangan Malaysia Airlines MH 370 Boeing 777 dari Kuala Lumpur – Beijing masih belum diketahui.
Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn dalam sidang medianya yang baru selesai sebentar tadi, mengesahkan tiada sebarang maklumat mengenai kedudukan atau lokasi pesawat itu setakat ini.
Apa yang pasti, pasukan mencari dan menyelamat oleh pihak berkuasa Malaysia, China, Filipina dan Vietnam sudah digerakkan bagi mencari pesawat MAS yang hilang sejak awal pagi tadi. Selain itu, angkatan laut Darat Malaysia, angkatan udara malaysia juga dikerah untuk membantu operasi.
Dalam sidang media pada jam 2.30 petang tadi, beliau memaklumkan bahawa Malaysia sudah pun menubuhkan satu Pusat Kordinasi Gerakan, OCC yang diketuai oleh Ketua Pengarah jabatan Penerbangan Awam dan sidang media akan diadakan setiap dua jam untuk memberi perkembangan terbaharu.
Ini bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh meresahkan anggota keluarga penumpang yang terlibat dalam kejadian MH 370 itu. Sebelum ini banyak spekulasi yang diterima dan sudah dinafikan oleh pihak berwajib. Semua pihak diingatkan supaya tidak mempercayai sebarang khabar angin dan mengikuti perkembangan melalui laman rasmi MAS dan sidang media yang diadakan. Semua stesen TV termasuk RTM menyiarkan secara langsung sidang media tersebut.
Dalam pada itu MAS sudah menghantar satu pasukan ke Beijing untuk membantu keluarga penumpang MH370 di sana.
MAS sudah pun menghubungi 80 peratus daripada keluarga penumpang tersebut. Datuk Seri Hishamuddin berkata, MAS akan menyediakan semua urusan dan kebajikan kepada keluarga penumpang pesawat berkenaan.
Penerbangan MH370, yang berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi tadi sepatutnya dijadual mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi waktu tempatan pada hari yang sama.
Bagaimanapun pesawat tersebut terputus hubungan radar pada kira-kira 2 jam selepas berlepas iaitu jam 2.40 pagi.
Dilaporkan bahawa kali terakhir pesawat dapat dihubungi oleh Pusat Kawalan Trafik Udara Subang ketika berada pada jarak 120 batu nautika di perairan Laut China selatan jam 2.41 pagi tadi.
Tidak ada petanda isyarat kecemasan daripada pesawat berkenaan.
Sementara itu di KLIA, setiap ahli keluarga penumpang pesawat MAS MH370 dikawal ketat pasukan keselamatan dan media tidak dibenarkan mendekati atau menemubual mereka.
Ramai yang kelihatan sebak ketika memasuki Anjung Tinjau KLIA tempat keluarga mangsa berkumpul.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan agar semua langkah yang boleh diambil bagi mengesan pesawat MAS yang hilang tersebut.
Menurutnya, beliau turut berdoa untuk anggota keluarga penumpang penerbangan MH370.
Datuk Seri Najib akan memberi sidang media petang ini.