Badan Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata, lima buah kapal serta beberapa pesawat milik tentera dan awam terlibat dalam operasi mengesan objek-objek yang dipercayai ada kaitan dengan pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi hari ini.
Kapal Tentera Laut Diraja Australia, HMAS Success dilaporkan tetap berada di lokasi sejauh 2,500 kilometer dari barat daya Perth. Manakala, kapal pemecah ais, Xuelong dan skuad tentera laut China yang terdiri daripada kapal Qiandaohu, kapal Kunlunshan dan kapal Haikou juga terbabit dalam misi mengesan di kawasan ini.
Walau bagaimanapun, cuaca di kawasan pencarian berkenaan diramalkan buruk. Selain itu, bateri kotak hitam pesawat itu dapat bertahan dua minggu sahaja lagi.
Dalam pada itu, Ribbeck Law, sebuah firma guaman di AS mahu mewakili keluarga mangsa penumpang pesawat MH370 bagi mengemukakan saman terhadap Boeing dan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).
Firma itu telah memfailkan satu petisyen terhadap Boeing dan MAS di sebuah mahkamah di Illinois, AS.