Pilihan raya Senat Thailand berjalan lancar di 77 buah provinsi negara itu semalam. Setiap provinsi akan memilih seorang anggota Senat manakala 73 anggota Senat yang lain akan dilantik setelah tempoh perkhidmatan mereka tamat tiga tahun kemudian.
Dewan Senat Thailand bukan hanya berhak mendakwa anggota kabinet, malah berhak terlibat dalam melantik dan memecat anggota badan berkecuali seperti Mahkamah Perlembagaan dan Suruhanjaya Antirasuah negara itu. Dewan Senat memberikan pengaruh yang amat besar terhadap arena politik negara itu khususnya dalam keadaan Dewan Perwakilan gagal ditubuhkan pada masa ini. Jika berlaku kekosongan politik di Thailand, Ketua Dewan Senat berhak mencalonkan Perdana Menteri untuk menubuhkan kerajaan sementara. Pada masa yang sama, jikalau Suruhanjaya Antirasuah memastikan Yingluck Shinawatra bertanggungjawab sepenuhnya terhadap salah laku dalam skim subsidi beras, Dewan Senat akan memulakan proses pendakwaan terhadap beliau. Oleh itu, keputusan pilihan raya kali ini amat penting bagi Yingluck dan Parti Pheu Thai bagi menentukan kedudukannya dalam arena politik negara itu. Pilihan raya kali ini juga disifatkan sebagai pungutan suara terhadap kerajaan sementara dan kumpulan antikerajaan serta meramal keputusan pilihan raya Dewan Perwakilan nanti.
Meskipun pihak penunjuk perasaan antikerajaan tidak memboikot pilihan raya Dewan Senat semalam, namun berpuluh-puluh ribu penyokong pemimpin kumpulan antikerajaan, Suthep Thaugsuban telah mengadakan tunjuk perasaan kelmarin untuk menunjukkan pendirian mereka, iaitu "Dahulukan Pembaharuan, Pilihan raya Kemudian". Apabila keputusan pilihan raya diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Perlembagaan pada 21 Mac lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya dan kerajaan sementara belum mencapai sepakat mengenai tarikh pilihan raya itu diadakan semula.