Menurut Pusat Mencari dan Menyelamat (SAR) Maritim China, setakat pukul 3.00 petang semalam, pasukan pencari masih gagal menemui sebarang bukti sahih berkaitan pesawat MH370 yang hilang.
Menurut seorang pegawai dari pusat tersebut, kapal China telah melakukan pencarian membabitkan kawasan seluas kira-kira 25 ribu kilometer persegi, di sebelah barat kawasan pencarian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Australia. Manakala, kapal dari negara-negara lain termasuk Australia, Britain, AS dan Malaysia melakukan misi yang sama di kawasan pencarian timur seluas kira-kira 15 ribu kilometer persegi.
Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berkata, operasi mencari pesawat MH370 dijangka akan diteruskan dalam masa yang panjang. Tambah beliau, isyarat akustik yang dipercayai daripada kotak hitam pesawat semakin lemah.
Dilaporkan lagi, Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan laporan muka depan sebuah akhbar tempatan yang mendakwa pembantu juruterbang pesawat MH370 membuat panggilan telefon ketika pesawat itu terbang rendah berhampiran Pulau Pinang.