China berjanji tidak akan membiarkan Malaysia menghadapi insiden kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu secara bersendirian.
Duta Besar China ke Malaysia, Huang Huikang berkata demikian pada takilmat media sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik China-Malaysia di Kuala Lumpur semalam.
China komited untuk membantu serta percaya usaha Malaysia dalam menangani situasi berkenaan yang disifatkan sebagai komitmen konsisten dari awal lagi.
Huang menegaskan, hubungan kedua-dua negara tidak pernah terjejas oleh sebarang insiden yang tidak diduga, sebaliknya menjadi lebih rapat dan kukuh menerusi kerjasama dalam menangani insiden berkenaan.
Ini sekali lagi membuktikan kawan sebenar adalah kawan yang membantu ketika dalam kesusahan.