Hubungan antara Malaysia dan China berkembang dengan amat sihat dalam pelbagai bidang termasuk kemasyarakatan, perdagangan, pendidikan dan budaya. Dalam konteks ini, interaksi dalam bidang kebudayaan yang meliputi bahasa dan penerbitan boleh menjadikan jambatan yang teguh bagi terus menerokai potensi hubungan dua hala ini pada masa akan datang. Demikian dinyatakan oleh Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim dalam temu ramah bersama wartawan Radio Antarabangsa China (CRI) semasa beliau melawat CRI di Beijing hari ini.
Kata beliau, sebagai contoh di Malaysia ada penyanyi yang boleh menyanyikan lagu China dengan baik. Maka, kedua-dua masyarakat berasa semangat kekitaan lebih tinggi daripada biasa.
Beliau juga menyarankan supaya buku-buku klasik antara kedua-dua negara boleh diterjemahkan dalam bahasa antara satu sama lain. Hal ini amat berfaedah bagi masyarakat kedua-dua negara menentukan hala tuju dan nilai sejarah.
Menyentuh tentang kerjasama dalam bidang media pula, Tan Sri Dr. Rais Yatim mengingatkan supaya menyedari tiada tenaga media yang cukup di Timur atau di Asia yang boleh menandingi media-media Barat.
Kata beliau, di barat jika mahu menjual jenama Pizza Hut dan McDonald, mereka menggunakan media-media besar, sehingga kita cukup biasa dengan jenama-jenama ini. Tetapi orang barat kurang biasa dengan mi China, nasi lemak dan roti canai. Oleh itu, kita mesti faham dan menguatkan media kita dari Timur ke Barat supaya ada titik pertemuan antara Barat dan Timur. China sebagai kuasa besar serantau mesti memainkan peranan utama dalam usaha menggabungkan media serantau untuk menyemarakkan budaya kita.
Tambah beliau, semasa menggunakan Jalan Sutera dahulu, China telah mendapat faedah dalam perjuangan mereka. Sekarang, kita harus kembali berbuat begitu iaitu menggunakan "Jalan Sutera".