Syarikat satelit komunikasi Britain, Inmarsat mendedahkan bahawa lokasi pencarian pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) di Lautan Hindi yang diketuai Australia adalah tidak tepat berbanding lokasi sebenar yang disarankan oleh saintis firma itu.
Menurut laporan stesen rangkaian televisyen BBC yang memetik kenyataan pakar satelit Inmarsat, Chris Ashton sebagai berkata, kapal Australia, Ocean Sheild yang mengetuai misi pencarian tidak mencari di lokasi tepat di Lautan Hindi, kerana perhatian mereka tertumpu untuk mengesan isyarat sonar yang dipercayai datang dari alat perakam penerbangan pesawat MH370 di kawasan lain.
Ashton berkata, data komunikasi Inmarsat dan pesawat berkenaan yang dianalisis saintis firma tersebut dilihat sebagai petunjuk terbaik bagi mengesan lokasi tepat kapal terbang yang membawa 239 penumpang itu yang hilang pada 8 Mac lalu, tetapi Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC) masih belum meneroka ke kawasan terbabit yang ditandai sebagai "lokasi panas".
Operasi pencarian MH370 ditangguhkan buat masa ini kerana kerja-kerja pemetaan dasar laut di Lautan Hindi sedang dijalankan.
Sebaik-baik operasi pencarian disambung, pasukan mencari akan memberi tumpuan di lokasi panas mengikut maklumat yang diberikan oleh pakar satelit Inmarsat. (Utusan Online)