Utusan Malaysia melaporkan, sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur terhempas, yang dipercayai ditembak pelancar peluru berpandu di pekan Shakhtarsk di timur Ukraine lewat petang semalam.
MAS dalam Twitternya berkata, syarikat penerbangan itu gagal berhubung dengan pesawat MH17 ketika berada di ruang udara Ukraine.
Pesawat itu kali terakhir dikesan berada di ruang udara Ukraine, wilayah yang kini bergolak sejak beberapa bulan lalu akibat campur tangan Rusia dalam konflik politik di negara tersebut.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mesej Twitternya berkata, beliau terkejut dengan laporan kejadian itu dan pihaknya akan menyiasat dengan segera kejadian tersebut.