
Menteri Luar China Wang Yi menghadiri Mesyuarat Menteri Luar China-ASEAN (10+1) yang diadakan di Naypyitaw, Myanmar semalam.
Wang Yi dalam ucapannya menyatakan bahawa ketika menyambut ulang tahun ke-10 terjalinnya hubungan rakan strategik China-ASEAN pada tahun lalu, Presiden China, Xi Jinping mengemukakan cadangan untuk membina Komuniti Berkongsi Nasib China-ASEAN. Cadangan itu telah menggariskan hala tuju perkembangan hubungan China-ASEAN dalam jangka masa yang panjang. Perdana Menteri China, Li Keqiang pula mengemukakan "Rangka kerjasama 2+7". Hubungan rakan strategik China-ASEAN sedang dinaiktarafkan daripada "dekad emas" dalam tempoh sepuluh tahun lalu kepada perkembangan tahap baharu.
Wang Yi menyatakan bahawa China dan ASEAN mempunyai hubungan yang rapat bahkan berkongsi nasib. China akan terus mengutamakan perkembangan hubungan dengan ASEAN, menyokong dengan tegas pembangunan ASEAN dan kedudukan utama ASEAN dalam kerjasama serantau serta menyokong ASEAN membina Komuniti ASEAN menjelang tahun 2015.
Dalam mesyuarat tersebut, menteri-menteri luar negara anggota ASEAN menyatakan bahawa ASEAN dan China telah membina hubungan yang saling mempercayai dalam sedekad yang lalu, hubungan rakan untuk kedamaian dan kemakmuran telah diintensifkan. Hubungan ASEAN-China telah memberikan sumbangan yang amat besar kepada kedamaian, kestabilan dan kemakmuran serantau. Serentak itu, China menjadi rakan stretegik ASEAN yang tidak boleh diabaikan. Negara-negara ASEAN menyokong pembangunan China secara damai, dan menganggap peranan China yang bersifat membina adalah jaminan penting bagi memelihara kedamaian dan kestabilan serantau serta pembangunan bersama.








