Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-11 dijadualkan berlangsung di Nanning, Guangxi pada 16 hingga 19 September ini. Pembangunan Laluan Sutera Maritim Abad ke-21 menjadi tema ekspo kali ini. Kalangan politik, perniagaan dan akademik Singapura berpendapat pembinaan Laluan Sutera Maritim tersebut dijalankan tepat pada masanya.
Singapura yang merupakan negara tema kali ini, menaruh perhatian tinggi terhadap ekspo tersebut. Perdana Menteri Singapura dan timbalannya kerap kali menghadiri CAEXPO. Duta Besar Singapura ke China, Stanley Loh Ka Leung pula mengiktiraf peranan istimewa CAEXPO sebagai jambatan persahabatan antara kedua-dua pihak.
Dalam tempoh ekspo kali ini, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong akan mengetuai delegasi ekonomi dan perdagangan ke Nanning. Singapura juga menubuhkan satu regu petugas yang melibatkan beberapa jabatan bagi membuat persiapan berkenaan. Dalam usaha memperluas pasaran China dan dunia, serta mendorong pembangunan Laluan Sutera Maritim Abad ke-21 pula, Singapura telah mereka bentuk aktiviti yang melibatkan tokoh politik, selain program pertukaran ekonomi dan perdagangan serta sosiobudaya.
Menteri Industri dan Perdagangan Singapura, Lim Hng Kiang ketika diwawancara baru-baru ini berkata, pihaknya berharap bekerjasama dengan China untuk mempercepat proses integrasi serantau supaya rakyat dapat menikmati faedah yang lebih besar. Sebagai salah satu hab pengangkutan udara dan laut, Singapura mengalu-alukan pembangunan Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21. Kini, pertukaran lawatan peringkat tinggi yang kerap, hubungan erat antara rakyat satu sama lain dan pembangunan pesat hubungan ekonomi menyediakan asas yang kukuh bagi mencapai matlamat tersebut.
Selain kesalinghubungan landasan kereta api, lebuh raya dan laluan laut, inisiatif membina Laluan Sutera Maritim Abad ke-21 juga merangkumi penerbangan, perkhidmatan kewangan, internet dan personel. Disebabkan kesalingbergantungan aliran perdagangan serantau semakin meningkat, inisiatif itu dianggap amat bermakna bagi China dan negara-negara ASEAN termasuk Singapura.