Bernama Malaysia melaporkan, Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) kali ke-22 yang berakhir di Beijing Selasa lalu meluluskan beberapa inisiatif bagi memastikan kemakmuran dan pembangunan jangka panjang kumpulan.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak menyambut baik Pelan Tindakan Perhubungan APEC 2015-2025 yang akan membantu melaksanakan program-program sasaran yang bakal menyumbang kepada usaha merapatkan jurang dalam hubungan antara rakyat, fizikal dan institusi di rantau ini.
Najib berkata kepada wartawan Malaysia pada akhir Sidang Kemuncak APEC bahawa beliau memuji China atas usaha memulakan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) dan berharap agar perkara ini dapat dilaksanakan segera.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, para pemimpin telah menerima pakai Pelan Hala Tuju Beijing bagi sumbangan APEC kepada usaha merealisasikan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP).
Pelan Hala Tuju itu menguraikan tindakan yang akan diambil untuk mencapai FTAAP termasuk menjalankan kajian strategik kolektif untuk dimuktamadkan pada 2016.
Menurut beliau, APEC dijangka memberi sumbangan penting dan bermakna sebagai inkubator FTAAP dengan menyediakan kepimpinan dan input intelektual ke dalam proses pembangunan integrasi ekonomi serantau.