Presiden China, Xi Jinping dalam ucapannya pada perasmian Forum Asia Boao pada Mac 28 lalu menyifatkan Komuniti ASEAN yang siap dibentuk pada tahun 2015 sebagai salah satu peristiwa yang perlu diingati pada tahun ini. Ini memperlihatkan tekad China untuk menyokong pembangunan ASEAN dan pembentukan Komuniti ASEAN serta peranan dominan pertubuhan itu dalam kerjasama rantau Asia Timur.
Sewaktu berlangsungnya Forum Boao tersebut, topik-topik berkaitan Komuniti ASEAN dan hala tuju perkembangan hubungan China-ASEAN telah diberi perhatian umum.
Menteri Luar China, Wang Yi menekankan pentingnya pembentukan Komuniti ASEAN. Menurut beliau, ASEAN, yang melalui pembangunan selama 48 tahun, sudah menjadi satu kuasa penting dalam menggalakkan kedamaian dan pembangunan serantau. Tiga komuniti yang melibatkan keselamatan politik, ekonomi dan sosiobudaya akan siap dibina di rantau ASEAN menjelang penghujung tahun ini. Perkara yang dianggap petanda signifkan ini bermanfaat bagi integrasi ekonomi Asia, demokrasi hubungan antarabangsa, serta orde global dan serantau yang bersifat lebih saksama dan munasabah.
ASEAN yang pernah menempuhi cabaran dalam usaha mewujudkan penyaduan sentiasa mendukung keistimewaan tersendiri dalam pembinaan komuniti serantau, seperti yang diperkatakan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pertubuhan itu bertungkus-lumus memperkasakan semangat kedaerahan melalui pendekatan kerjasama, di samping tidak melemahkan kedaulatan negara-negara anggota.
Presiden Universiti Hal-ehwal Luar Negeri China, Qin Yaqing beranggapan bahawa sokongan China dan ASEAN bersifat antara satu sama lain. Selaku pertubuhan serantau, ASEAN menggalakkan kestabilan dan kemakmuran serantau, manakala selaku kuasa besar baru muncul, China dianggap peneraju dalam proses integrasi ASEAN. Boleh dikatakan bahawa pembangunan China secara damai dan semangat bersifat inklusif ASEAN yang mendukung prinsip mencapai konsensus melalui rundingan mencipta suasana yang selamat di rantau ini.
Hubungan China-ASEAN membuka lembaran baharu pada Oktober 2013 berikutan inisiatif "Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21" yang diketengahkan Presiden Xi Jinping sempena lawatan beliau ke Indonesia dan turut mendapat sambutan hangat daripada negara-negara ASEAN.
Naib Gabenor Bank Pembangunan Asia (ADB), Stephen Groff menganggap bahawa pelbagai negara di Asia Timur harus memperkasakan penyelarasan dan kerjasama untuk melakukan pengubahsuaian struktur, sekali gus bertindak untuk mencegah konflik yang berpotensi. Inilah kunci bagi rantau itu mengekalkan trend perkembangan yang berterusan.