Cari:
Malaysia Tinjau Buka Agrobazaar Di Xi'an
2015-05-25 14:55:28 CRI Cetak
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengadakan perbincangan dengan usahawan tempatan di Xi'an mengenai potensi untuk membuka Agrobazaar Malaysia di bandar raya berkenaan.

Beliau berkata selain Agrobazaar, usahawan warga China berkenaan, Tie Ming Liang turut menyatakan persetujuan untuk menjadi pengedar produk makanan halal Malaysia di Xi'an yang merupakan ibu kota wilayah Shaanxi dan di wilayah lain yang berhampiran.

"Dalam perbincangan hari ini, Tie memberitahu saya bahawa beliau sedang mencari sebuah premis yang sesuai di pusat bandar raya Xi'an untuk membuka Agrobazaar secara usaha sama dengan syarikat Malaysia.

"Selain itu, beliau bersetuju untuk menjadi pengedar produk halal dari Malaysia ke beberapa wilayah di China termasuk Shaanxi, Xinjiang, Gansu dan Ningxia yang mempunyai ramai masyarakat Cina Muslim. Hal ini sekaligus boleh menjadikan Xi'an pintu masuk produk halal Malaysia ke China," katanya kepada Bernama selepas pertemuan tersebut di sini hari Ahad.

Jelas beliau, sejak empat tahun lalu, Tie seorang usahawan Cina Muslim yang memiliki restoran makanan halal dan kedai menjual produk makanan halal di Muslim Street di sini menjual pelbagai produk halal dari Malaysia.

Produk berkenaan termasuk kopi segera, jus mangga, biskut dan beberapa produk sejuk beku.

Sambutan yang menggalakkan dari masyarakat Cina Muslim di sini terhadap produk halal Malaysia mendorong usahawan berkenaan berminat untuk menjadi pengedar dan ingin mendapatkan produk halal baharu yang lain dari Malaysia bagi memberikan pelbagai pilihan kepada pelanggannya, tambah Ismail Sabri.

Hari ini, selain mengadakan pertemuan dengan Tie, beliau turut meninjau pameran dan jualan produk Malaysia di Minggu Halal Malaysia-Xi'an yang akan beliau rasmikan esok. Minggu Halal Malaysia-Xi'an itu bermula hari ini sehingga 31 Mei.

Ismail Sabri kini dalam lawatan kerja sembilan hari ke China untuk mempromosikan produk halal Malaysia di bandar raya Xi'an, Chengdu, Xining, provinsi Fujian, bandar Shenzen dan Hong Kong mulai semalam sehingga 31 Mei.

Lawatan kerja beliau disertai pegawai kanan dari pelbagai agensi di bawah kementerian seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China