Kerajaan Malaysia mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada kerajaan negeri Sabah bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan membaik pulih kemudahan di Gunung Kinabalu yang musnah ekoran kejadian gempa bumi dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu memastikan aktiviti pendakian di gunung itu dapat disambung semula, selain jaminan keselamatan untuk pendaki.
Ujar beliau, beberapa langkah susulan juga ditetapkan bagi memulihkan Taman Kinabalu serta langkah-langkah keselamatan antaranya termasuklah menambah alat mengesan gegaran berteknologi tinggi.
Beliau menjelaskan langkah-langkah penambahbaikan adalah seperti setiap kumpulan pendaki dan malim gunung adalah pada nisbah seorang malim gunung bagi enam orang pendaki; setiap malim gunung dibekalkan dengan kemudahan walkie-talkie; dan landas helikopter (helipad) di Gunung Kinabalu diluaskan bagi memudahkan sebarang bentuk operasi.