Barisan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam diharap akan membawa harapan rakyat, beraspirasikan nilai masyarakat dan prihatin serta peka dengan masalah semasa.
Pensyarah kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, kabinet baharu yang dibentuk itu haruslah mampu membantu Perdana Menteri dalam menguruskan negara terutama pada saat kedudukan ekonomi global yang sukar serta wujudnya pelbagai isu dan polemik politik semasa.
Kabinet baharu ini diharap dapat menjadi enjin bukan sahaja kepada pengurusan negara bahkan menjadi satu kumpulan pengurusan yang membawa kepada pengekalan Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Mengulas lanjut, Shukri berkata keberanian Najib sebagai ketua kabinet dalam mengadakan kejutan rombakan ketika ini adalah penunjuk bahawa beliau akan terus ke hadapan dan tidak akan berundur.
(sumber BERNAMA)