Pengerusi Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara (NDRC), Xu Shaoshi, selaku utusan khas Presiden China, Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan menteri-menteri kabinet Indonesia baru-baru ini, termasuk Menteri Koordinasi Ekonomi, Sofyan Djalil, Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN), Rini Soemarno dan Menteri Pengangkutan, Ignasius Jonan.
Kerjasama mengenai projek pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung antara topik perbincangan utama dalam pertemuan tersebut.
Menurut Xu, China bersetuju dengan pemilihan kaedah pengendalian melalui usahasama dalam projek itu bagi menjaga kepentingan pihak Indonesia.
Dalam pada itu, China akan bekerjasama dengan syarikat Indonesia dalam pembinaan dan pengurusan operasi HSR tersebut, selain berjanji untuk menyediakan teknologi bagi membolehkan pembuatan kelengkapan kereta api berkenaan dilakukan di Indonesia.
Projek HSR itu diharap dapat meningkatkan kapasiti pembuatan jentera berat Indonesia, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi negara itu.