Cari:
Kenali Beijing, Terus Lakar Sejarah
2015-08-30 14:58:38 CRI Cetak


Datuk Dr. Awang Sariyan menyampaikan cenderamata kepada Datuk Zainuddin bin Yahya, Duta Besar Malaysia ke China

Pada 29 Ogos yang lalu, merupakan hari yang bersejarah kepada Bahagian Bahasa Melayu Radio Antarabangsa China (CRI) apabila hasrat untuk menerbitkan dan melancarkan buku Kenali Beijing akhirnya berjaya direalisasikan. Bertempat di Pusat Pameran Antarabangsa China, Beijing (CIEC) telah disempurnakan majlis pelancaran buku Kenali Beijing dan The Unity and Education in Malaysia bersempena dengan berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Beijing kali ke-22.  

Buku Kenali Beijing dan The Unity and Education in Malaysia telah dilancarkan oleh Tuan Yang Terutama Datuk Zainuddin bin Yahya, Duta Besar Malaysia ke China. Turut sama hadir di majlis tersebut ialah Datuk Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud, Pengerusi Perbadanan Kota Buku, Prof. Dato' Dr. Mohd Fauzi Haji Ramlan, Naib Canselor Universiti Putera Malaysia (UPM), wakil Universiti Kerakyatan Guangxi, wakil Syarikat Penerbitan Rakyat Guangxi Berhad, Puan Zhang Wenwen, pihak urus setia dari DBP, UPM, Perbadanan Kota Buku dan krew Kenali Beijing.


Para tetamu saling berbincang tentang buku

Majlis pelancaran tersebut, walaupun diadakan secara sederhana, namun terasa kemesraannya. Semua pihak yang telah bekerja keras dalam menghasilkan kedua-dua buku tersebut seolah-olah satu pasukan yang sedang meraikan kejayaan mereka. Kini, semuanya sudah boleh tersenyum puas dan menarik nafas lega. Semua pihak saling mengucapkan tahniah dan saling memberikan sokongan antara satu sama lain. Kepada yang sudah saling mengenali, pertemuan pada majlis ini semakin mengukuhkan keakraban dan mengeratkan persahabatan. Masing-masing bertanya akan khabar, berbual-bual mesra dan mengambil foto kenangan bersama-sama, manakala yang baru pertama kali bersua wajah, inilah peluangnya untuk saling berkenalan dan membina tali persahabatan tanpa mengira batas agama, budaya dan sempadan negara.


Farah, krew Kenali Beijing sedang menemu bual kepada Datuk Zainuddin bin Yahya, Duta Besar Malaysia ke China

Begitulah indahnya pertukaran budaya yang telah terjalin antara kedua-dua negara. Jarak yang jauh, berbeza budaya dan bahasa bukan lagi alasan yang konkrit untuk bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Perkongsian budaya dan ilmu adalah antara usaha murni yang harus dipupuk dan digalakkan dalam kalangan generasi muda kedua-dua negara demi melahirkan individu-individu yang mempunyai kekuatan mental, fizikal dan spiritual.

Bersempena dengan Hari Kemerdekaan Malaysia yang akan disambut pada 31 Ogos dan bagi meraikan ulang tahun ke-70 Kemenangan Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia, marilah kita berkongsi rasa dan nikmat "kemerdekaan dan kemenangan" dengan terus mengekalkan dan mengukuhkan jambatan persahabatan yang telah lama terbina melalui pertukaran budaya dan ilmu ini.

Walaupun majlis pelancaran sudah selesai, namun tugas dan cabaran yang sebenar baru bermula, khususnya kepada krew Kenali Beijing kerana kini Kenali Beijing sudah semakin "dikenali" dan mempunyai pengikut sendiri. Semoga Kenali Beijing akan terus menghasilkan pelbagai rancangan dan aktiviti yang menarik dan istimewa pada masa hadapan. Ayuh Kenali Beijing, teruskan usaha menawan dunia!


Gerai buku DBP, UPM dan Perbadanan Kota Buku di Pusat Pameran Antarabangsa China, Beijing (CIEC)

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China