
Sumber tentera Filipina mengesahkan, dua pelancong warga Kanada, seorang pengurus pusat peranginan dari Norway dan seorang wanita warga Filipina diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah pusat peranginan mewah di wilayah Mindanao, selatan Filipina, malam Isnin lalu.
Dimaklumkan, 11 orang lelaki bersenjata yang menaiki bot, tiba-tiba menyerbu pusat peranginan Holiday Ocean View Samal di Pulau Samal tengah malam kelmarin dan menangkap empat mangsa tersebut. Terdapat kira-kira 30 pelancong asing pusat peranginan berkenaan ketika serangan itu berlaku.
Pihak tentera telah mengerahkan helikopter, kapal milik tentera laut dan ejen risikan untuk membantu pihak polis menyelamatkan tebusan berkenaan dan mengesan suspek yang terlibat dalam kes penculikan itu. Sehingga kini, identiti suspek berkenaan masih belum dikenal pasti.
Sehubungan dengan itu, kerajaan Filipina dalam kenyataan semalam komited untuk menjaga keselamatan perwakilan yang akan hadir pada Sidang Tidak Rasmi Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Manila, bulan depan.








