Beberapa buah bandar di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia yang sebelum ini diselubungi jerebu dan asap tebal selama berbulan-bulan, akhirnya kembali pulih apabila tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan berkenaan mencecah paras terendah sejak krisis itu melanda Indonesia pada bulan Ogos lalu.
Portal berita thejakartapost.com melaporkan, semua bandar yang dipantau Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia pagi ini pertama kali berada di luar zon tidak sihat sejak krisis itu melanda.
Pihak berkuasa Indonesia menyifatkan keadaan cuaca semakin baik ekoran hujan lebat sekali sekala, bermula awal minggu lalu.
Mengambil kesempatan daripada peningkatan awan di kedua-dua pulau tersebut, kerajaan Indonesia telah meningkatkan operasi pembenihan awan bagi membentuk hujan tiruan dalam usaha memadamkan rantaian api yang masih menyala di kawasan hutan dan tanah gambut.
---utusan