Cari:
AEC Bakal Jadi Kenyataan
2015-11-19 14:33:01 CRI Cetak

Perwakilan negara-negara anggota ASEAN yang berkumpul di Kuala Lumpur untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan tidak melepaskan peluang keemasan tersebut untuk membicarakan isu-isu hangat yang menjadi perhatian umum di rantau ini. Antaranya termasuk langkah-langkah menggerakkan integrasi ekonomi serantau, membaiki kehidupan rakyat, serta mengatasi pelbagai cabaran yang dibawa oleh ketidakseimbangan pembangunan, perbezaan sistem politik dan kepelbagaian budaya dan agama.

Visi Komuniti ASEAN, yang dihasratkan menjadi kenyataan menjelang akhir tahun ini mengandungi tiga tonggak utama, iaitu pembinaan Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC), Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC). Dimaklumkan, ASEAN telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam pelaksanaan butiran-butiran Cetak Biru AEC. Setakat ini, sebanyak 463 daripada 506 tindakan keutamaan yang ditetapkan AEC, iaitu 91.5 peratus butiran, telah dilaksanakan. Disebabkan halangan bukan tarif makin berkurangan serta kegiatan perdagangan dan pergerakan komoditi makin merancak, ekonomi ASEAN nampaknya lebih dinamik. Biarpun ekonomi global terus merosot tahun lepas, ekonomi rantau itu tetap mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus pada tahun 2014, yang membawa manfaat kepada 600 juta penduduk di rantau berkenaan.

Di bawah rangka AEC, negara-negara anggota boleh melakukan kerjasama dalam pelbagai bidang. Sebagai contoh, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menduduki lebih 96 peratus daripada keseluruhan perusahaan di ASEAN. Dengan kelebihan ini, penyediaan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan penduduk dan penggalakkan pembangunan lestari boleh dijadikan peluang kerjasama yang baharu. Menurut satu kajian oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), AEC mampu menyediakan 14 juta peluang pekerjaan menjelang tahun 2025, sekali gus mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang mapan berkat lebih banyak tarif yang dimansuhkan serta perdagangan dan pelaburan yang ditingkatkan.

AEC akan menjadi kenyataan tidak lama lagi. Namun, ini tidak menandakan berakhirnya proses integrasi. Negara-negara anggota patut menggandakan usaha mereka untuk mengatasi pelbagai cabaran yang besar, seperti tahap pembangunan ekonomi yang berlainan, sistem undang-undang yang kurang lengkap, halangan perdagangan bukan tarif yang masih wujud, dan lain-lain.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China