Atas undangan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak, rakan sejawatnya dari China, Li Keqiang bertolak ke Kuala Lumpur hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Satu ke-18, Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-18 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-10 serta melakukan lawatan rasmi ke negara Pengerusi Bergilir ASEAN itu.
Menurut kelaziman, sebelum penghujung setiap tahun, negara-negara anggota ASEAN akan mengadakan sidang kemuncak berkenaan dengan rakan-rakan dialog mereka, iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Rusia dan India. Penglibatan China dalam mekanisme dialog itu sudah dimulakan sejak tahun 1990-an lagi. Kali ini merupakan kali ketiga PM Li menghadiri sesi persidangan tersebut sejak memegang jawatan perdana menteri.
Pelbagai isu semasa yang dihadapi rantau ini termasuk isu pembangunan dijangka mendapat perhatian utama semua pihak pada persidangan kali ini. Demi memantapkan pertumbuhan ekonomi, PM Li sepanjang sesi berkenaan akan memberi penjelasan yang terperinci mengenai dasar dan polisi China berkaitan kerjasama Asia Timur, dan mengesyorkan cadangan-cadangan baharu untuk menjayakan kerjasama pragmatik dengan ASEAN dalam kesalinghubungan, perindustrian, pelaburan, pembinaan taman industri dan sebagainya.
China menjadikan mekanisme "10+1", iaitu "ASEAN Campur China" sebagai asas untuk menggerakkan kerjasama antara Asia Timur. Demi membina asas yang lebih kukuh, PM Li akan menggesa pihak-pihak terbabit supaya bekerja keras untuk menggalakkan pelaksanaan beberapa gagasan cemerlang, antaranya Komuniti Berkongsi Masa Hadapan China-ASEAN, Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 dan Rangka Kerjasama "2+7".
Manakala, mekanime "10+3", yakni "ASEAN Campur China, Jepun, Korea Selatan" akan meneruskan pelaksanaan program-program dalam bidang tradisional, iaitu fiskal dan kewangan, serta keselamatan bijirin. Dalam sidang kemuncak tahun ini, kerjasama berhubung kedua-dua bidang itu akan diperluaskan. Selain itu, proses perundingan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Kawasan Perdagangan Bebas (FTA) China-Jepun-Korea Selatan juga akan dipecut.
Mengenai Sidang Kemuncak Asia Timur, yang dianggap sebagai forum strategik yang diterajui oleh pemimpin, PM Li akan membentangkan pendirian China terhadap hala tuju perkembangan mekanisme itu, di samping menyeru supaya kerjasama dalam enam bidang utama, iaitu sumber tenaga dan perlindungan alam, kewangan, pendidikan, kesihatan awam, pengurusan bencana serta kesalinghubungan antara ASEAN dapat diperkasakan.