
Laporan Analisis Kepentingan Nasional Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) mendapati tiada gangguan terhadap hak-hak bumiputera termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) dan perolehan kerajaan Malaysia sekiranya perjanjian dagangan itu dimuktamadkan.
Kajian itu yang dijalankan firma antarabangsa, PricewaterhouseCoopers (PwC) menunjukkan sekurang-kurangnya 42 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam sektor pembuatan, perkhidmatan makanan dan perkhidmatan persendirian menerima impak positif kepada akses pasaran dan perdagangan merentasi sempadan.
Menurut firma berkenaan, penyertaan sebahagian besar lagi PKS yang berada dalam sektor liberalisasi dengan pemilikan ekuiti asing terhad sehingga 30 peratus, tidak akan membawa perubahan ketara dari segi tahap liberalisasi dan implikasi buruk.
Bagaimanapun jelas PwC, perniagaan bumiputera dan PKS berpotensi untuk menerima kesan negatif tetapi sebahagian besar impaknya diimbangi dengan jaminan konsesi di Malaysia.
---Utusan








