Amerika Syarikat (AS) buat kali pertama menempatkan pesawat pengintai di Singapura bermula 7 hingga 14 Disember ini.
Dalam kenyataan bersama selepas mengadakan pertemuan di Washington semalam, Setiausaha Pertahanan AS, Ashton Carter dan Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen mengumumkan langkah menempatkan pesawat pengintip P-8 Poseidon di republik itu mengikut Memorandum Persefahaman (MoU) dan perjanjian strategik yang masing-masing dimeterai kedua-dua negara pada 1990 dan 2005.
Jelas kenyataan terbabit, kedua-dua negara menekankan kepentingan menonjolkan kekuatan tentera AS di rantau ini selain menggalakkan kerjasama ketenteraan yang lebih besar menerusi latihan bersama.
Kerahan pesawat itu juga dilihat boleh menyokong usaha menyalurkan bantuan bencana dan keselamatan maritim.