Kumpulan CIMB menjangka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia rendah sedikit pada 4.6 peratus bagi 2016.
Persekitaran operasi akan terus mencabar untuk separuh pertama tahun depan dan kesan kenaikan kos sara hidup, kelembapan ringgit, peningkatan pengangguran dan kawalan kredit lebih ketat akan menyebabkan perbelanjaan pengguna kekal lemah.
Bagaimanapun, pelaburan tetap dijangka bertambah baik berikutan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 dan ini akan membantu mengimbangi sedikit momentum perbelanjaan pengguna yang berkurangan bagi memastikan permintaan domestik kekal teguh.
Demikian dikatakan oleh Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Mengenai prospek sektor perbankan, beliau berkata bank-bank Malaysia pada amnya akan stabil pada 2016.
--BERNAMA