Sebuah feri milik swasta yang dalam perjalanan dari Bungao, Tawi-Tawi, Filipina berlanggar dengan sebuah kapal di Semporna, Sabah, Malaysia malam semalam. Semua 158 orang penumpang berjaya diselamatkan.
Ketua Balai Bomba Semporna, Fazizul Hizham Borhan berkata, selepas menerima laporan mengenai insiden itu kira-kira pada pukul 8.56 malam tadi, pihaknya segera mengerahkan pasukan penyelamat yang terdiri daripada 13 anggota ke lokasi kejadian dan berjaya menyelamatkan semua penumpang.
Empat penumpang yang cedera ringan dihantar ke Hospital Semporna untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.