Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia menyasarkan kira-kira lima juta pelancong asing bakal mengunjungi Langkawi menggunakan perkhidmatannya menjelang 2020, berbanding hanya 1.6 juta yang dicatatkan pada masa ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, bagi mencapai sasaran itu, pihaknya merancang untuk membuka beberapa lagi laluan antarabangsa terus ke Langkawi pada masa akan datang, iaitu dari Hong Kong, Jakarta, Bangkok, Shanghai dan Shenzhen.
AirAsia merupakan syarikat penerbangan terbesar di Langkawi dengan penguasaan pasaran sebanyak 65 peratus, manakala laluan berkenaan adalah yang kedua dari luar negara terus ke Langkawi selepas Singapura.
Menurut Fernandes, AirAsia percaya sektor pelancongan Langkawi perlu terus diperkasakan kerana potensinya menerima pengunjung yang ramai setiap tahun, terutamanya dari negara China.
--Utusan