Ucapan penting mengenai isu Taiwan yang disampaikan oleh Presiden China, Xi Jinping baru-baru ini menjadi tumpuan media Asia Tenggara.
Mereka menganggap ucapan Presiden Xi itu jelas memperincikan dasar dan prinsip asas Tanah Besar terhadap Taiwan.
Akhbar Filipina World News kelmarin menyiarkan rencana pengarang yang bertajuk "Tonggak Hubungan Tanah Besar-Taiwan" sebagai berkata, ucapan Presiden Xi menunjukkan betapa pentingnya "Konsensus 1992". Hanya dengan menerima fakta bahawa Tanah Besar dan Taiwan adalah kepunyaan satu China, dapat kedua-dua pihak mengekalkan interaksi positif, sekali gus menggalakkan pembangunan hubungan rentas selat secara damai.
Akhbar Lianhe Zaobao Singapura dalam artikelnya pula menyebut, ucapan Presiden Xi mempamerkan ketegasan Tanah Besar untuk membendung sebarang kegiatan yang berniat untuk mewujudkan "kemerdekaan Taiwan" dan tidak sesekali mengizinkan tragedi sejarah pemisahan negara berulang lagi.