Beijing menggesa Jakarta untuk membebaskan kesemua lapan anak kapal sebuah bot nelayan China yang ditahan semasa konfrontasi maritim Sabtu lalu dan menjamin keselamatan mereka.
Gesaan itu dibuat menerusi jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying dalam sidang media semalam, berikutan dakwaan pencerobohan kapal pengawal pantai China di kawasan perairan Indonesia.
Hua bagaimanapun menegaskan bahawa insiden itu berlaku di "kawasan menangkap ikan tradisional China", dan China mengiktiraf hak kedaulatan Indonesia di Kepulauan Natuna.
Tambah beliau, Jakarta dan Beijing jarang-jarang terlibat dalam pertelingkahan memandangkan kedua-dua negara mempunyai hubungan yang baik, selain Indonesia tidak mempunyai tuntutan bertindih di kawasan pertikaian di Laut China Selatan.
Oleh hal yang demikian, Hua berharap agar konfrontasi maritim tersebut dapat diselesaikan dengan baik.
Insiden berkenaan dilaporkan berlaku pada petang 19 Mac lalu apabila kapal pengawal pantai China cuba menghalang pihak berkuasa Indonesia menahan bot nelayan China yang dipercayai "beroperasi secara haram" berdekatan dengan Pulau Natuna.
Anak kapal terbabit ditahan sebelum kapal China bertindak menyelamatkan mereka.
Pihak Indonesia turut memanggil Duta Besar China ke negara itu untuk memberikan penjelasan berhubung dengan insiden tersebut dan mengemukakan bantahan keras terhadap campur tangan kapal pengawal pantai China yang memasuki perairan republik itu.